Kesedaran keselamatan siber melalui mekanisme pendidikan adalah antara salah satu tanggungjawab sosial Pusat Kajian Keselamatan Siber (SIBER) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ini penting bagi memastikan warga UKM cakna ancaman keselamatan siber yang semakin maju dan kompleks. Selaras dengan penambahbaikan yang dicadangkan oleh juruaudit dari The Institute of Internal Auditors kepada Unit Audit Dalam UKM, maka tercetuslah program kesedaran keselamatan siber yang dilaksana pada 11 September 2024 di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat. Seramai 16 juruadit dari Unit Audit Dalam UKM yang diketuai oleh Ketua Audit Dalam, En. Ishak Md Saboo terlibat dalam taklimat ini. Manakala penyelidik dari Pusat Siber yang terlibat ialah Prof. Madya Dr. Masnizah Mohd dan Dr. Umi Asma’ Mokhtar. Dua topik utama yang diperkenalkan kepada juruaudit ialah Keselamatan Maklumat dan Keselamatan Siber dalam konteks juruaudit. Bahagian pertama taklimat memperkenalkan konsep keselamatan, perbandingan antara Keselamatan Maklumat dan Keselamatan Siber, kitar hayat maklumat, komponen, kriteria kritikal maklumat dan 12 prinsip dalam Keselamatan Maklumat. Ini disusuli dengan bahagian kedua takimat, yang membincangkan perisian hasad dan indikator kompromi, perisian tebusan, serangan, entiti ancaman, inisiatif kesedaran dan pendidikan keselamatan siber. Malah, juruaudit turut didedahkan dengan isu semasa ancaman siber. Taklimat ini diakhiri dengan sesi soal-jawab dan diselit dengan perkongsian kes dalam konteks juruaudit. Ini ialah susulan, menyedari peranan penting Unit Audit Dalam sebagai satu badan bebas yang bertanggungjawab memberi kepastian dan khidmat perundingan kepada Naib Canselor mengenai kawalan dan tadbir urus organisasi. Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran keselamatan siber khasnya kepada juruaudit yang menggalas peranan penting dalam menguruskan maklumat sulit, rahsia dan menjaga integriti UKM.
Oleh:
Masnizah Mohd
masnizah.mohd@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Umi Asma’ Mokhtar