Teknologi berasaskan animasi adalah medium pendidikan penting bagi menyantuni kanak-kanak Generasi Z dan Alpha kerana pada usia tersebut, mereka banyak terdedah kepada medium visual yang memberi impak pengajaran lebih berkesan dan pantas. Walaupun bahan berkaitan sirah Rasulullah S.A.W. banyak dipaparkan kepada masyarakat, medium animasi yang sedia ada kurang menarik dan tidak cukup menonjolkan adab serta akhlak Rasulullah S.A.W. Oleh itu, Dr. Napisah Karimah Binti Ismail (K019056), selaku ketua projek dari Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, mengusulkan penyelidikan bertajuk “Penghasilan Filem Pendek Animasi ‘Edu-Atfal’ Sirah Rasulullah S.A.W. dalam Memperkasa Industri Kreatif Islami,” menggunakan Geran Translasi UKM-TR2023-02, dengan kerjasama industri dari Syarikat Durioo Sdn. Bhd. Kajian ini bertujuan untuk (1)Mengenal pasti keperluan industri kreatif Islami terhadap penghasilan animasi Edu-Atfal berdasarkan Sirah Rasulullah S.A.W. (2) Mereka bentuk dan membangunkan kandungan animasi Edu-Atfal yang selaras dengan keperluan industri kreatif Islami di Malaysia. (3) Menilai keberkesanan animasi Edu-Atfal dalam pendidikan STEAM kanak-kanak.
Bagi mencapai objektif kedua, para penyelidik perlu memahami proses animasi. Oleh itu, saya selaku ahli penyelidik telah mengadakan Bengkel Mereka Skrip dan Jalan Cerita Animasi, bagi memperkenalkan peringkat awal produksi animasi. Bengkel ini diadakan melalui Zoom dan dihadiri oleh penyelidik serta jemputan yang berminat. Para peserta didedahkan kepada kepentingan skrip dialog dan papan cerita. Skrip merangkumi rancangan cerita, manakala papan cerita ialah proses lakaran dari skrip, hasil akhir menyerupai buku komik.
Bengkel ini berlangsung dengan jayanya, dengan ramai peserta menunjukkan minat dan bertanya lebih lanjut mengenai proses tersebut. Diharapkan ia membantu ahli penyelidik menghasilkan animasi pendidikan yang menarik serta memperkenalkan adab dan akhlak Rasulullah S.A.W. kepada Generasi Z dan Alpha.