Thu. Dec 26th, 2024

Pada 19 dan 20 Disember 2023, Mobile Application Development Club (MAD Club) sekali lagi berjaya menganjurkan program inovatif bertemakan ‘ARventure: Exploring the Augmented Realm.’ Program yang dirancang sempena minggu School@UKM ini terbuka kepada semua ahli MAD Club dan pelajar sekolah menengah serta universiti luar. Pertandingan Augmented Reality (AR) ini bertujuan untuk mempromosikan kolaborasi dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan komuniti pelajar UKM serta masyarakat luar.

Selama dua hari, peserta didedahkan kepada pembangunan model tiga dimensi (3D) dan ‘filter’ AR yang kreatif. Pada hari pertama, peserta dibimbing untuk menghasilkan model 3D menggunakan perisian Blender, diikuti dengan sesi pengenalan kepada perisian EffectHouse untuk mencipta ‘filter’ bagi aplikasi TikTok. Sejurus selepas sesi bengkel dan penerangan keperluan pertandingan, para peserta mula merangka dan membangunkan ‘filter’ 3D mereka yang bertemakan alam sekitar.

Hari kedua menyaksikan banyak hasil kreatif dipersembahkan oleh peserta, termasuk ‘filter’ beruang kutub yang menekankan isu perubahan iklim, ‘filter’ topeng muka yang muncul apabila seseorang bersin, dan ‘filter’ memancing ikan dalam kolam yang dipenuhi sampah. Hasil peserta semuanya memaparkan kesedaran tentang masalah alam sekitar. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan sesi bengkel pembelajaran yang disampaikan oleh pelajar MAD Club sendiri.

Persediaan rapi bagi memastikan kejayaan program ini telah dijalankan beberapa bulan sebelum berlangsungnya acara. Pelajar MAD Club yang terlibat telah mengadakan bengkel persendirian dengan bantuan seorang jurulatih luar yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang 3D dan animasi menggunakan Blender. Bengkel ini memberikan pelajar pengetahuan mendalam yang kemudiannya diterapkan dalam modul pengajaran pada hari pertama ARventure.

Dengan ilmu yang diperoleh, pelajar MAD Club berjaya membangunkan modul pengajaran yang telah digunakan semasa program ini, di mana mereka berkongsi pengetahuan dengan komuniti pelajar lain. Secara keseluruhan, program ini berjaya memupuk kreativiti dan kerjasama dalam kalangan pelajar, serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar melalui teknologi AR yang sohor kini .

 

Oleh:
Siti Solehah Mohd Hamid
solehah.mhamid@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Fazlina Mohd Ali
Tan Siok Yee
Lam Meng Chun
Nur Fazidah Elias
Ruzzakiah Jenal

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *