Pembelajaran melalui pendekatan STEM mendorong pelajar berfikir secara kreatif, sistematik, dan logik. Namun, penurunan minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kini menjadi isu utama yang semakin mendapat perhatian penyelidik. Walaupun pelbagai kaedah telah diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dalam bidang ini, golongan sosioekonomi rendah (B40) sering ketinggalan akibat pelbagai halangan. Oleh itu, kajian ini menggunakan teknologi terkini iaitu dron sebagai platform inovatif untuk memupuk minat terhadap teknologi komputer, robotik, dan STEM secara keseluruhan.
Responden kajian ini terdiri daripada pelajar menengah rendah iaitu pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dari komuniti sosioekonomi B40. Bengkel dron ini telah diadakan sebanyak tiga kali di lokasi yang berbeza. Program pertama berlangsung di komuniti Masjid Al-Umm, diikuti oleh komuniti Bangi yang dikategorikan sebagai kawasan bandar, dan lokasi ketiga di luar Bangi yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar. Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan minat terhadap teknologi komputer dan robotik dalam kalangan komuniti B40, dengan menjadikan dron sebagai platform pembelajaran. Secara keseluruhan, seramai 92 orang peserta dari ketiga-tiga bengkel ini menunjukkan peningkatan minat yang positif terhadap pendidikan STEM. Jumlah peserta yang terhad ini disebabkan oleh keterbatasan jumlah dron yang digunakan untuk melaksanakan bengkel. Respon daripada guru-guru turut menunjukkan bahawa pelajar memberikan kerjasama yang baik, terutama dalam sesi perbincangan untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Secara tidak langsung, bengkel ini turut meningkatkan pemikiran kritis dan kreatif pelajar sambil mengasah kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah secara praktikal.
Kajian ini diharap dapat menjadi asas kepada pendekatan pembelajaran yang lebih meluas dan berkesan dalam kalangan pelajar dari komuniti sosioekonomi B40, khususnya dalam bidang STEM. Melalui penerapan teknologi dron sebagai alat pembelajaran, harapannya adalah minat dan pemahaman pelajar terhadap teknologi komputer dan robotik akan terus berkembang. Selain itu, jurang pengetahuan dan penggunaan teknologi dalam kalangan komuniti B40 dapat dikurangkan, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era digital yang semakin maju.
Oleh:
Noor Faridatul Ainun Zainal
faridatul@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Afzan Adam
Abdul Hadi Bin Abd Rahman
Nor Samsiah Binti Sani