Sun. Feb 2nd, 2025

Dalam usaha untuk meningkatkan pembelajaran praktikal dan pendedahan merentas disiplin, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Faculty of Integrated Technologies, Universiti Brunei Darussalam (UBD) bekerjasama dalam program latihan industri bagi pelajar tahun dua. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas kemahiran pelajar kejuruteraan dengan pendedahan kepada ilmu berkaitan dengan teknologi maklumat dan sains komputer. Matlamat utama adalah untuk memberikan pelajar kejuruteraan UBD pendedahan kepada domain teknikal baru, mempersiapkan mereka untuk keperluan tenaga kerja moden yang sentiasa berubah. Dengan menempatkan pelajar dalam persekitaran teknologi dan sains maklumat, program ini menawarkan pengalaman merentas disiplin yang melengkapi kurikulum kejuruteraan mereka. Cabaran utama adalah memastikan tugas yang diberikan selaras dengan latar belakang kejuruteraan pelajar sambil memperkenalkan mereka kepada bidang IT yang baru. Peranan UKM adalah untuk mengenal pasti dan menyediakan projek yang sesuai dengan kemahiran teknikal pelajar sambil mendedahkan mereka kepada kejuruteraan perisian, Internet of Things (IoT), dan aplikasi mudah alih. Pelajar diberi pendedahan kepada pembangunan projek IoT dan mengintegrasikan peranti pintar, yang membolehkan mereka menerapkan kemahiran kejuruteraan mereka dalam konteks digital.

Disamping itu juga pelajar dapat merasakan pengalaman persekitaran akademik baru, berinteraksi dengan rakan tempatan dan juga antarabangsa, serta menikmati makanan dan minuman tempatan yang pelbagai dan berbeza. Secara keseluruhan, pengalaman baru ini menawarkan peluang pembelajaran dan kenangan yang berharga buat mereka.

Program latihan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada kedua-dua institusi. Ia dapat mengukuhkan hubungan kerjasama bagi memperluas pengetahuan akademik dan mengukuhkan hubungan dalam komuniti pendidikan dan teknologi. Kepakaran dan sumber yang dikongsi membuka jalan untuk usaha bersama yang lebih luas serta berinovasi. Diharapkan kerjasama ini akan menjadi model untuk inisiatif masa depan, membawa kepada peluang baru bagi kedua-dua institusi untuk bersama-sama mencipta idea dan inovasi baru seiring dengan kemajuan teknologi.

 

Oleh:
Dahlila Putri binti Dahnil Sikumbang
dahlilaputri@ukm.edu.my

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *