Konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) adalah satu inisiatif yang amat penting dalam menyediakan suasana yang lebih kondusif bagi pesakit Muslim yang ingin menunaikan ibadah walaupun dalam keadaan sakit. Hospital bukan hanya menjadi tempat rawatan fizikal tetapi turut mengambil kira kesejahteraan rohani pesakit dengan memberikan kemudahan dan panduan ibadah yang sesuai. Islam membenarkan pelbagai bentuk rukhsah, atau keringanan, bagi umatnya yang berada dalam keadaan sukar, termasuk ketika sakit, bagi memastikan mereka dapat terus beribadah dengan cara yang lebih mudah dan selesa. Dalam usaha mendokong konsep HMI ini, teknologi memainkan peranan yang sangat penting. Pada masa kini, kebanyakan panduan beribadah bagi pesakit disediakan dalam bentuk buku fizikal, salinan PDF, atau video yang perlu diakses secara berasingan. Oleh itu, pembangunan aplikasi mudah alih berbentuk e-buku yang memanfaatkan elemen audiovisual boleh dijadikan penyelesaian yang lebih interaktif. Aplikasi ini bertujuan memudahkan mereka mengakses panduan ibadah yang sesuai dengan keadaan kesihatan mereka, sama ada berkaitan tatacara wudhu, solat dalam keadaan duduk atau baring, serta rukhsah khusus yang diberikan bagi situasi tertentu. Pesakit boleh memperoleh tutorial panduan ibadah secara dinamik dengan sokongan audiovisual seperti video dan audio. Contohnya, jika seseorang memerlukan panduan untuk bersolat dalam keadaan terlantar di atas katil, hasil carian dapat menyediakan video panduan yang menunjukkan langkah-langkah bersolat dalam keadaan baring. Ini sangat berguna bagi pesakit yang memerlukan panduan segera dan mudah difahami. Fungsi bot perbualan juga dibangunkan untuk membimbing pengguna jika mereka memerlukan bantuan tambahan atau untuk menjawab soalan tertentu berkaitan ibadah semasa sakit. Dengan adanya solusi ini, pesakit dan penjaga boleh mengakses panduan yang sesuai dengan keadaan mereka tanpa perlu risau akan keterbatasan fizikal, menjadikan HMI satu realiti yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat.