Mobile Application Development Club (MAD Club) telah menganjurkan cabaran Roblox Studio bertemakan “Unlock Your Imagination” pada akhir tahun 2023 bersempena minggu School@UKM. Program ini memberi peluang kepada murid sekolah berumur 10 hingga 14 tahun untuk mencipta persekitaran permainan (game environment) dan bermain bersama-sama dalam dunia Roblox. Objektif utama program ini adalah untuk memanfaatkan teknologi terkini dalam pembelajaran permainan sambil mengintegrasikan elemen kreatif yang inovatif dalam persekitaran permainan yang direka oleh peserta sendiri.
Program satu hari ini menawarkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan mendalam. Dengan bimbingan daripada fasilitator terlatih daripada pihak penganjur, peserta mempelajari aspek utama dalam pembangunan permainan, termasuk reka bentuk, asas pengaturcaraan, dan kreativiti visual. Fasilitator, yang terdiri daripada pelajar MAD Club, berkongsi pengetahuan mereka untuk memastikan setiap peserta mendapat manfaat maksimum sepanjang 9 jam di FTSM.
Maklum balas yang diterima menunjukkan reaksi yang positif dan membina, dengan majoriti peserta berminat untuk menyertai program ini lagi pada masa hadapan. Untuk penambahbaikan, akan ada penambahan modul pembelajaran yang lebih mendalam dan interaktif, mengikut kesesuaian umur peserta. Selain itu, peserta turut meminta masa yang lebih panjang untuk memberi mereka lebih peluang meneroka dan bereksperimen dengan alat-alat dalam pembangunan permainan Roblox Studio.
“Unlock Your Imagination” bukan sekadar tentang membina permainan tetapi juga meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri peserta dalam bidang teknologi dan reka bentuk permainan. Program yang julung kali dianjurkan oleh MAD Club ini membuktikan komitmen mereka dalam menyediakan peluang pendidikan yang inovatif serta memupuk kecintaan terhadap teknologi dalam kalangan generasi muda.