Thu. Dec 26th, 2024

 

Alat bantu belajar yang sesuai adalah penting bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan berkesan, apalagi untuk kanak-kanak. Generasi kanak-kanak kini semakin terdedah kepada pelbagai inovasi teknologi terkini. Namun, masih wujud prasekolah yang menggunakan pendekatan pengajaran konvensional menggunakan buku sepenuhnya. Ini menjadikan proses pembelajaran pasif dan membosankan. Justeru inovasi ini adalah untuk menghasilkan alat bantu mengajar-belajar digital dalam bentuk aplikasi pembelajaran interaktif bagi memupuk dan mendidik kanak-kanak tentang Peribadi Muslim.

Fokus inovasi adalah modul puasa yang diintegrasi berteraskan multimedia interaktif dan gamifikasi agar pembelajaran lebih seronok dan menarik. Modul ini merujuk kepada Silibus dan Falsafah Pendidikan Prasekolah Malaysia. Aplikasi gamifikasi yang dibangunkan diberi nama “Jom Puasa”, terdiri daripada enam modul utama: Tentang Puasa, Sirah, Makanan Sunnah, Kuiz, Melukis dan MyTracker. Aplikasi “Jom Puasa” telah dinilai kebolehgunaan dengan mendapat maklum balas daripada 5 guru dan 15 pelajar. Hasil penilaian menunjukkan skor min purata guru adalah 4.45 pada tahap cemerlang manakala skor min pelajar adalah 4.70 juga pada tahap cemerlang. Ini menunjukkan mereka sangat berpuashati dengan aplikasi ini dan bersetuju ianya sesuai digunakan sebagai alat bantu mengajar-belajar yang bermanfaat untuk kanak-kanak.

Inovasi ini turut dibentang dalam Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (KNovasi) 2024 dan mendapat maklum balas yang baik serta cadangan penambahbaikan yang membina. Pembangunan aplikasi gamifikasi “Jom Puasa” menyokong Sustainable Development Goals: Sasaran 4.0 untuk Pendidikan Berkualiti bagi peringkat prasekolah. Dengan wujudnya aplikasi gamifikasi pendidikan seperti ini, diharap dapat membantu kanak-kanak untuk belajar dalam persekitaran yang menarik dan menyeronokkan, disamping memanfaatkan kecanggihan teknologi masa kini sesuai dengan keperluan generasi pada zaman mereka.

 

Oleh:
Zurina Muda
zurinam@ukm.edu.my

Pengarang Bersama:
Siti Hajar Saadon

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *