Bersempena bulan Ramadan 1445H, Kelab Kakitangan (KIT) Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) telah menganjurkan Program Ihya’ Ramadan dengan tujuan memperkukuh ukhuwah antara warga FTSM serta memberi tumpuan kepada amalan-amalan seperti tadarus al-Quran, solat berjemaah, dan berbuka puasa bersama-sama dalam kalangan warga. Program ini dimulakan dengan aktiviti tadarus al-Quran yang melibatkan enam kumpulan kakitangan dan telah berjalan sejak minggu pertama Ramadan. Kemuncak program ini adalah majlis khatam al-Quran yang diadakan pada 4 April 2024 di Masjid UKM, dipimpin oleh Ustaz Muhammad Haziq bin Abdul Samad dari Pusat Islam UKM. Sebelum majlis khatam bermula, warga dijemput untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah dan sama-sama mendengar kuliah Zuhur yang disediakan oleh pihak masjid. Pengerusi KIT, Dr. Ahmad Tarmizi Abdul Ghani juga berkesempatan menyempurnakan acara pemberian bubur lambuk sebagai simbolik amalan sedekah yang dianjurkan oleh Islam dan diperintahkan oleh al-Quran. Acara diteruskan dengan majlis berbuka puasa di ruang legar Masjid UKM yang berkonsepkan makan dalam talam, di mana warga FTSM dan hampir 1000 jemaah yang lain berbuka puasa bersama-sama. Setiap talam dikongsi oleh empat hingga lima orang, lengkap dengan hidangan kurma dan buah-buahan. Program berbuka puasa dalam talam ini merupakan satu tradisi Masjid UKM sejak sekian lama, dan warga FTSM berbangga menjadi sebahagian daripada tradisi ini yang bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, tetapi juga memperkukuh ikatan silaturrahim sesama ahli. Secara keseluruhannya, Program Ihya’ Ramadan ini bukan sahaja menyemarakkan amalan ibadah di bulan yang penuh keberkatan tetapi juga berperanan sebagai platform untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan warga fakulti. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak penglibatan ahli keluarga, penambahan sesi ilmu, dan kerjasama dengan komuniti luar bagi memperluaskan manfaat dan impaknya.
Oleh:
Nurhidayah Bahar
nbahar@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Ahmad Tarmizi Abdul Ghani