Sidang Kemuncak Keselamatan Siber NACSA (NCSS) 2024 telah diadakan pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2024, buat julung kalinya telah mengumpulkan para profesional terkemuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Malaysia. Program eksklusif berkonsep jemputan tersebut telah dianjurkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, dengan bertemakan “Usaha Bersama untuk Malaysia yang Selamat dan Berdaya Tahan.” Sidang kemuncak tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim dimana sekali gus menegaskan komitmen negara terhadap pembinaan ketahanan siber yang kukuh dalam menghadapi era transformasi digital ini.
NCSS 2024 turut menampilkan pelbagai program merangkumi pembentangan ucaptama, perbincangan panel, dan sesi teknikal yang membincangkan isu-isu ancaman terkini siber, kaedah tindak balas insiden, serta tadbir urus siber yang berkesan. Sebanyak 40 ruang pameran dari pemain industri, agensi swasta dan jabatan kerajaan yang menonjolkan keupayaan perkhidmatan dan teknologi terkini di dalam bidang keselamatan siber, turut mengetengahkan peranan penting NACSA sebagai agensi peneraju dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber Malaysia. Para peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi serangan siber secara langsung, memberikan pengalaman praktikal yang amat bernilai. Sorotan utama lain sepanjang NCSS 2024 ialah Mesyuarat Meja Bulat Keselamatan Siber Peringkat Tinggi Malaysia-Singapura yang memupuk kerjasama strategik, penyelarasan dasar, dan ketahanan siber dipertingkat antara negara jiran. Selain itu, program My Cyber Hero (MYSH) 2024 yang melibatkan pelajar menerusi bengkel dan pertandingan gamifikasi turut diadakan bukan sahaja meningkatkan kemahiran keselamatan siber mereka, malah meningkatkan kesedaran seluruh komuniti agar generasi akan datang lebih bersedia menghadapi ancaman digital. Kesimpulannya, NCSS 2024 telah meluaskan rangkaian jaringan hubungan kerjasama, menggalakkan perkongsian ilmu, serta memperkasa semua peserta untuk memperkukuh pertahanan siber. Dengan memupuk kesedaran keselamatan siber, dan mengukuhkan kerjasama erat, sidang kemuncak ini berjaya mencetuskan usaha bersama ke arah masa depan digital yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk Malaysia.