Thu. Dec 26th, 2024

Lawatan Industri selama 7 hari ke Shenzhen, China (12-19 Oktober 2024) merupakan kemuncak bagi Program Digital Leadership Excellence (DLE) yang telah dijalankan selama 8 bulan di Malaysia. Program ini telah dianjurkan oleh Huawei Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang berkemahiran dan berpengetahuan yang tinggi di dalam memacu transformasi digital dalam sektor masing-masing. Seramai 47 peserta terpilih dari kalangan industri, kerajaan, dan akademia untuk menyertai program ini. Peserta mendapat pendedahan luar biasa di dalam teknologi generasi akan datang dan aplikasi dunia sebenar merangkumi tujuh tema utama iaitu 5G, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), Pengkomputeran Awan, Data Raya (Big Data), Teknologi Hijau, dan Keselamatan Siber. Peserta berpeluang melawat pusat teknologi ikonik di Shenzhen, termasuk: Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Huawei (peneraju inovasi 5G, AI, dan IoT), DJI (peneraju teknologi dron dan peranti pintar), Kilang BYD (pemacu utama teknologi hijau dan kenderaan elektrik) dan juga Kilang Peranti Rangkaian Huawei (menampilkan teknik pengeluaran rangkaian yang canggih berasaskan robotik). Lawatan ini dapat memberikan pendedahan kepada peserta untuk melihat sendiri inovasi global dalam dunia sebenar dari aspek pembuatan pintar hingga ke pembangunan lestari, serta memahami bagaimana syarikat terkemuka memacu kemajuan teknologi dan penguasaan pasaran. Salah satu aktiviti utama program ini adalah penghasilan Projek Capstone, di mana peserta diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan perlu dibentangkan semasa lawatan. Program DLE mencerminkan pendekatan inklusif dalam pembangunan kepimpinan di mana menggabungkan pengetahuan teknikal, pengalaman langsung, dan pemikiran strategik untuk melahirkan pemimpin yang bersedia untuk memacu transformasi digital dalam sektor masing-masing. Melalui pendedahan luar biasa kepada kecemerlangan R&D global, kerjasama rentas sektor, dan pengalaman pembelajaran transformasi, program ini berjaya melahirkan pemimpin yang bersedia untuk memimpin perubahan dan inovasi. Program ini turut menyokong usaha Malaysia untuk membangunkan pemimpin masa depan yang mampu mengemudi transformasi ekonomi digital.

 

Oleh:
Nur Hanis Sabrina Suhaimi
sabrinasuhaimi@ukm.edu.my

 

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *