Pada 17 November yang lepas, satu ceramah kesedaran bertajuk “Scam Alert – Lindungi Diri anda di dalam dunia Siber” telah diadakan di Surau Pusat An-Nur Country Heights, Kajang. Program tersebut telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau Pusat An-Nur Country Heights (SPANCH) bersempena sambutan Bulan Kesejahteraan dengan kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Andorra, dan warga komuniti di kawasan tersebut. Program Bulan kesejahteraan tersebut telah dirasmikan oleh YB Tuan Syahredzan bin Johan, iaitu ADUN Bangi. Terdapat pebagai aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut seperti program saringan Kesihatan, senaman zumba, jualan kopi dan produk makanan kesihatan serta aktiviti telematch untuk keluarga. Salain daripada ceramah kesedaran dalam menangani ancaman siber, ceramah mengenai keterjaminan makanan semasa krisis dan ceramah kesihatan untuk kanak-kanak turut diadakan selari dengan kempen bulan kesedaran dalam aspek kesihatan, keselamatan dan persekitaran. Langkah proaktif ini diambil bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan fizikal, mental, dan spiritual di kalangan komuniti dalam kehidupan seharian merangkumi ketiga-tiga aspek tersebut. Objektif utama ceramah ini adalah untuk membina “benteng pertahanan minda” komuniti agar mereka lebih peka terhadap taktik penipuan yang sering digunakan oleh penjenayah siber, seperti e-mel palsu, panggilan telefon meragukan, serta pautan laman sesawang dan berita palsu yang tidak selamat. Para hadirin didedahkan dengan langkah-langkah amalan keselamatan asas, antaranya penggunaan kata laluan yang kukuh, kewaspadaan sebelum berkongsi sebarang maklumat peribadi atau menekan sebarang pautan, atau memuat turun sebarang lampiran yang diterima dan tindakan yang perlu dibuat jika menghadapi ancaman. Penyebaran ilmu dari perkongsian yang diterima, kepada keluarga, jiran tetangga, serta rakan-rakan pasti dapat membina kesedaran kolektif di kalangan masyarakat dan seterusnya dapat membentuk jaringan komuniti yang lebih peka terhadap ancaman siber, serta mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dalam talian. Program sebegini wajar diteruskan pada masa hadapan kerana perkongsian daripada institusi dan industri dapat memberikan pendedahan berguna kepada masyarakat, seterusnya menjamin kesejahteraan komuniti.