Cabaran DJI RoboMaster telah berjaya menarik perhatian pelajar dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi(IPT) untuk turut serta dalam acara yang penuh inovasi dan kompetitif. Kelab ARVIS, sebagai penganjur utama, telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan yang sangat dinanti-nantikan, iaitu Cabaran DJI RoboMaster. Pertandingan tahunan ini menampilkan penggunaan DJI RoboMaster S1 yang membolehkan peserta mempraktikkan kemahiran pengaturcaraan dan strategi dalam persekitaran yang realistik. Acara ini bukan sahaja mencabar dari segi ketangkasan fizikal, tetapi juga menuntut kebijaksanaan peserta dalam merangka strategi yang mantap, pengaturcaraan yang cemerlang, dan penyelesaian masalah yang kompleks, di samping menekankan konsistensi dan keberanian.
Fokus utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan pemikiran ke arah kemajuan teknologi di kalangan pelajar, sambil menyemai sifat berpasukan yang kukuh, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 9, dan 17. SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, dicapai dengan memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran teknologi dan inovasi secara praktikal. SDG 9, iaitu Industri, Inovasi, dan Infrastruktur, ditonjolkan melalui penggunaan teknologi canggih seperti RoboMaster S1, yang memperkasa pelajar dalam bidang teknologi. SDG 17, iaitu Kerjasama untuk Mencapai Matlamat, dicerminkan melalui penyertaan antarabangsa dan kerjasama pelbagai institusi yang menyokong pembangunan dan pertumbuhan bersama dalam teknologi dan pendidikan. Saban tahun. penglibatan pelajar IPT tempatan seperti UTeM, UTHM, UNIKL, UITM, UPM dan penyertaan antarabangsa dari Brunei, China dan Amerika Syarikat, menambah kepelbagaian dan daya saing dalam pertandingan ini.