SIG Cyberhack & Ethics telah menganjurkan program CYBER AWARENESS CTF (Capture The Flag) sempena Minggu Cabaran Digital FTSM pada Jun 2024. CYBER AWARENESS CTF merupakan satu sesi interaktif untuk memperkenalkan peserta kepada pelbagai jenis asas keselamatan siber melalui cabaran praktikal. Satu bengkel telah dilaksanakan pada 4 dan 5 Jun 2024 di Makmal Kejuruteraan Perisian, Blok C, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM.
Bengkel ini bertujuan untuk melatih dan menguji peserta dalam menyelesaikan cabaran keselamatan siber dalam pelbagai kategori seperti kriptografi, steganografi, pwned, OSINT, kejuruteraan berbalik dan lain-lain. Menerusi Bengkel CTF ini, peserta telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang bermanfaat bagi kerjaya mereka dalam bidang keselamatan siber pada masa akan datang.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pelbagai jenis ancaman siber seperti serangan DDoS (Distributed Denial of Service), perisian tebusan, pemalsuan dan lain-lain ancaman siber yang semakin menjadi kebimbangan dalam landskap siber masa kini. Ini membolehkan peserta memahami bukan sahaja aspek teknikal dalam keselamatan siber, tetapi juga bagaimana ancaman ini boleh memberi kesan kepada organisasi dan individu serta strategi yang wujud untuk mengatasinya. Dengan memperoleh pemahaman yang menyeluruh mengenai pelbagai ancaman siber, peserta menjadi lebih peka terhadap kepentingan keselamatan siber dan mampu menyumbang kepada usaha mengurangkan risiko-risiko siber.
Tema ‘DEFENDING THE DIGITAL FRONTIER’ 8.0 INOVASI CYBER AWARENESS CTF dipilih untuk bengkel ini dengan memperkenalkan modul interaktif yang terarah, menyediakan simulasi terkini dan realistik. Dengan penggabungan teknologi terkini dan senario yang dinamik, bengkel ini bukan sahaja membangunkan kemahiran teknikal peserta, tetapi juga menanamkan kesedaran kritikal terhadap ancaman siber dan kemahiran bertindak pantas untuk mengatasinya, serta mempersiapkan mereka menjadi aktivis dalam menangani cabaran siber pada masa depan.