Pada 18 Mei 2024, Program Tautan VIC & Alumni: Ikatan, Merentas Kenangan telah berlangsung dengan penuh kejayaan di Eco Venture Semenyih, Selangor. Program yang dianjurkan oleh Special Interest Group (SIG) – Video Innovation Club (VIC) ini bertemakan “VIC Bersatu: Membina Jambatan Silaturahim”. Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), khususnya ahli VIC, mengenai keupayaan diri sambil membina ukhuwah melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Program ini turut menjadi platform untuk menyambut kedatangan ahli baharu VIC, sekali gus mengukuhkan persaudaraan antara ahli VIC. Ia dilihat sebagai usaha membentuk mahasiswa yang berdaya saing dengan keperluan universiti dan memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan baik. Antara KPI program yang telah dicapai termasuk pembahagian tugas jawatankuasa yang cekap serta pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran pengurusan dan komunikasi yang baik. Peserta juga berjaya meningkatkan keupayaan diri dalam aspek kepimpinan dan kerja berpasukan. Program ini telah menarik penyertaan hampir 60 peserta, dan suasana program sangat positif. Aktiviti yang dianjurkan membolehkan para peserta berinteraksi secara santai tetapi berkesan, selari dengan objektif utama program ini iaitu memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan ahli. Dengan semangat kerjasama yang tinggi ditunjukkan oleh semua peserta, program ini telah berjaya melahirkan warga Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan lebih baik. Di masa hadapan, program sebegini diharapkan dapat diteruskan dengan pengisian aktiviti yang lebih mencabar dan kreatif.
Oleh:
Nur Hanis Sabrina Suhaimi
sabrinasuhaimi@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Noorayisahbe Mohd Yaacob
Masura Rahmat
Syahanim Mohd Salleh
Hadi Affendy Dahlan