Model Didik Sawit adalah inisiatif pendidikan yang dibangunkan untuk mempertingkatkan pengetahuan mengenai sawit di kalangan pelajar sekolah menengah, khususnya yang mengikuti mata pelajaran Geografi. Model ini dibina berdasarkan silibus Geografi sekolah menengah, pandangan guru, dan input daripada pasukan MPOB. Model ini bertujuan untuk menyediakan maklumat yang jelas dan relevan tentang sawit khususnya kepada golongan muda yang didapati kurang pengetahuan serta sedar mengenai kepentingan sawit. Pendedahan dan maklumat mengenai sawit perlu diberikan lebih awal supaya dapat membuka minda pelajar mengenai sawit, kepentingannya kepada negara, dan secara tidak langsung memupuk minat mereka untuk menceburi bidang perladangan sawit.
Sasaran utama model ini adalah pelajar sekolah terutamanya tingkatan 3, memandangkan mereka mempelajari Geografi dan memerlukan pemahaman mendalam mengenai topik ini. Model ini terdiri daripada lima modul utama yang dirancang untuk memudahkan pelajar dalam memperoleh dan memahami fakta-fakta berkaitan sawit dengan lebih baik. Maklumat yang terkandung dalam setiap modul telah diringkaskan dan disusun mengikut topik yang sesuai, hasil daripada perbincangan dengan guru-guru Geografi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra serta kakitangan MPOB yang pakar dalam bidang ini.
Selain memberikan pendedahan yang mendalam kepada pelajar, Model Didik Sawit juga bertujuan untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat umum. Ia menyajikan maklumat melalui infografik dan video yang menarik, yang boleh diakses melalui laman web dalam talian. Dengan cara ini, model ini memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran, tidak hanya di sekolah tetapi juga secara kendiri, dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sawit.
Secara keseluruhannya, Model Didik Sawit menyediakan sumber pembelajaran yang berguna dan mudah diakses, dengan matlamat untuk mendidik dan memperkaya pengetahuan pelajar dan masyarakat tentang sawit, serta membangkitkan minat mereka terhadap industri perladangan sawit.