Fri. Dec 27th, 2024

Cyber Run pertama kali dianjurkan pada tahun 2019. Pada 12 Oktober 2024, Cyber Run Edisi kedua telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan lebih daripada 300 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi, kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta orang awam. Program ini bukan sekadar untuk menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan siber. Terdapat pelbagai informasi berkaitan keselamatan siber turut dipamerkan di sekitar kawasan program, membolehkan peserta dan pengunjung meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka mengenai isu-isu keselamatan siber. Program yang dianjurkan oleh Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) ini, dipimpin oleh Ts. Dr. Azura Ishak selaku Pengarah Program. Urusetia terdiri daripada kakitangan dan pelajar FTSM, yang bertungkus-lumus sejak beberapa bulan dalam memastikan kelancaran program semasa hari kejadian. Larian telah dilepaskan oleh Prof. Dr. Nurhizam Safie, Dekan FTSM. Peserta memulakan larian mereka dari dataran Panggung Seni UKM, bersaing dalam dua kategori utama, iaitu larian 5KM terbuka lelaki dan wanita dan larian 7KM terbuka lelaki dan wanita. Selain daripada acara larian, kuiz keselamatan siber dan cabutan bertuah juga telah diadakan. Hadiah diberikan kepada pemenang-pemenang kuiz dengan skor tertinggi sebagai pengiktirafan kecekapan mereka dalam topik ini. Bagi acara larian, lima pelari terpantas bagi setiap kategori telah dinobatkan sebagai pemenang. Program ini menjadi lebih menarik apabila dua kakitangan FTSM berjaya meraih kedudukan dalam kategori masing-masing; Dr. Nurhidayah Bahar mendapat tempat ketiga bagi kategori 7KM wanita, manakala Cik Suhaida Abdul Rahman meraih tempat keempat bagi kategori 5KM wanita. Acara larian ini ditamatkan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi dan pempengaruh, Fahimi Rahmat, yang popular dengan lagu ‘Angau’. Persembahan beliau menyemarakkan lagi suasana dan memberikan kenangan manis buat semua peserta dan pengunjung. Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat atas penganjuran program yang bukan sahaja berjaya mencapai matlamat tetapi juga mendorong masyarakat untuk terus prihatin mengenai keselamatan siber!

 

Oleh:
Nurhidayah Bahar
nbahar@ukm.edu.my
Pengarang Bersama:
Azura Ishak

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *