Page 82 - The-5th-MCAIT2021-eProceeding
P. 82
1. Pengenalan
AR adalah satu teknologi yang membolehkan objek maya di dalam bentuk 2 Dimensi (2D) dan 3 Dimensi
(3D) digabung ke dalam persekitaran nyata. Persekitaran pada dunia nyata dijejak oleh aplikasi AR berdasarkan
penanda yang telah ditetapkan. Bahan digital berbentuk Objek 3D ini muncul di atas skrin telefon apabila
kamera telefon dapat menjejak penanda atau lokasi yang telah direkodkan di dalam pangkalan data sistem (Lee
2012). Teknologi AR wujud apabila ianya divariasi daripada teknologi realiti maya iaitu realiti maya hanya
fokus kepada dunia maya sahaja, manakala AR menggabungkan dunia nyata dan dunia realiti. Oleh kerana AR
berkemampuan untuk meningkatkan persepsi pengguna dan membenarkan pengguna untuk berinteraksi dengan
maklumat atau objek maya di ruang nyata, pendekatan baru ini dilihat menarik dan efisien untuk diimplementasi
dalam proses pembelajaran dan pendidikan (Billinghurst & Duenser 2012).
Terdapat tiga ciri utama di dalam teknologi AR iaitu menggabungkan dunia nyata dan maya, berinteraksi
dengan pengguna dalam waktu nyata dan diolah di dalam bentuk permodelan 3D. Namun, tidak semua jenis
sukatan pelajaran sesuai untuk menggunakan teknologi ini. Pembangun harus mempertimbangkan keperluan
pengguna dan keberkesanan hasil akhir. Kaedah pembelajaran yang sering digunakan di dalam kelas adalah di
dalam bentuk satu hala iaitu secara pasif. Walaupun kehidupan semula jadi adalah di dalam bentuk 3D, para
tenaga pengajar lebih memilih untuk mengajar menggunakan kaedah konvensional 2D kerana cara ini lebih
mudah, biasa digunakan, mudah alih dan murah (Kesim, & Ozarslan 2012). Hal ini didapati menjadi kekangan
kepada para pelajar untuk memahami dengan jelas jadual berkala kimia. Puncanya kerana mereka tidak dapat
melihat kewujudan elemen dan proses yang berlaku seperti pembentukan jirim. Pelajar sukar untuk
mengvisualisasikan perkara ini di atas faktor keupayaan imaginasi yang terhad (Cai, Wang & Chiang 2014).
Teknologi AR menjadi pilihan pengajar sebagai satu alternatif tambahan dalam memperkasa pengetahuan
pelajar dan kini pembangunan aplikasi berasaskan AR untuk tujuan pembelajaran semakin meluas seperti untuk
sains, perbendaharaan kata dan bahasa Arab. Aplikasi mudah alih AR telah dibangunkan untuk kumpulan
pertama dalam jadual berkala berasaskan soalan (Abd Majid & Abd Majid), tetapi model 3D untuk atom tidak
mengambarkan keadaan sebenar kerana tiada animasi gerakan. Oleh itu, sejajar dengan perkembangan
teknologi masa ini, kajian ini fokus pada penggunaan AR dalam sistem pendidikan kerana ianya mampu untuk
mengubah corak pembelajaran sedia ada. Ini seterusnya meningkatkan prestasi dan kefahaman pengguna
dengan lebih lagi. Antara muka AR menawarkan kelebihan kepada pengguna kerana ianya mampu untuk
mengvisualisasikan gambaran bagi tujuan pendidikan (Shelton 2002). Justeru itu, objektif kajian ini adalah
mereka bentuk dan membangun sebuah aplikasi mudah alih AR untuk mempelajari jadual berkala kimia
berasaskan soalan. Aplikasi ini memudahkan pelajar memahami jadual berkala kimia melalui animasi objek 3D
dan video yang seterusnya meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran.
2. Metodologi
Aplikasi mudah alih pembelajaran AR berasaskan soalan dibangunkan menggunakan metodologi ADDIE
yang mengandungi lima fasa iaitu analisis, reka bentuk, pembangunan, implementasi dan penilaian. Aplikasi
ini dinilai melalui kajian kes di sebuah sekolah menengah di Malaysia. Aplikasi ini direka bentuk untuk
menyelesaikan masalah kefahaman pelajar dalam mempelajari unsur dalam jadual berkala. Untuk
meningkatkan aspek kognitif dalam pembelajaran, elemen soalan ditambah bagi setiap sessi yang menggunakan
teknologi AR. Oleh itu, setiap bahagian utama aplikasi iaitu 1) tindak balas besi dan elemen, 2) struktur atom
dan 3) tindak balas elemen dan air, disertai dengan soalan (Rajah 1). Pembangunan aplikasi ini melibatkan
perisian Unity 3D, Vuforia, Autodesk 3Ds Max, Audacity dan Adobe Photoshop untuk sistem operasi Android.
Rajah 2 (a) menunjukkan contoh struktur atom dalam bentuk model 3D. Model 3D ini mempunyai animasi iaitu
petala yang ada pada model atom itu akan berputar mengelilingi nukleus bagi memberikan gambaran sebenar
kepada pelajar. Soalan yang berkaitan dengan model 3D tersebut dipaparkan pada skrin yang sama dengan
paparan model 3D. Pelajar mendapat maklum balas terus jawapan yang dipilih seperti pada Rajah 2(b). Pelajar
juga diberi perkaitan dengan persekitaran seperti garam dengan struktur atomnya (Rajah 2(c)).
E- Proceedings of The 5th International Multi-Conference on Artificial Intelligence Technology (MCAIT 2021) [69]
Artificial Intelligence in the 4th Industrial Revolution